Kebaikan bersukan amatlah jelas dalam menjaga kesihatan badan.

Selain menjaga pemakanan yang seimbang, aktiviti fizikal dapat membantu badan mengimbangkan penggunaan dan penyimpanan tenaga badan. Bagaimanapun, sukan lasak atau yang memerlukan tenaga yang banyak mungkin akan meninggalkan kesan buruk kepada badan.

Antara kesan ketara sukan ekstrem adalah masalah tulang di mana ahli sukan bukan sahaja menghadapi risiko retak atau patah tulang, malahan risiko poros tulang atau pengurangan jisim tulang.

Jisim atau kepadatan tulang dinilai dengan melibat bilangan sel tulang yang ada pada tulang rangka badan. Secara umumnya, tulang yang mempunyai jisim lebih besar adalah tulang yang lebih kuat.

Walaupun jisim tulang banyak dipengaruhi faktor genetik, kesan persekitaran dan pengambilan ubat tertentu juga boleh mempengaruhi keadaan tulang. Kepadatan tulang biasanya mula berkumpul pada zaman kanak-kanak dan mencapai kemuncaknya pada usia kira-kira 25 tahun. Keseimbangan jisim tulang kemudiannya akan kekal untuk 10 tahun sebelum menurun mengikut usia, pemakanan dan aktiviti fizikal individu.

Bagaimanapun, bagi ahli sukan ekstrem, faktor aktiviti fizikal dan pemakanan akan memberi kesan lebih besar kepada jisim tulang mereka berbanding usia.

Tulang memerlukan bekalan kalsium yang cukup bukan sahaja ketika kecil malahan sehingga usia tua untuk kekal kuat bagi menampung pergerakan aktiviti harian.

Aktiviti yang memerlukan banyak tenaga bukan sahaja memerlukan nutrien secukupnya daripada makanan malahan memerlukan rehat secukupnya sebelum aktiviti yang sama dilakukan sekali lagi. Kekurangan sumber nutrien dan rehat yang cukup mungkin menyebabkan badan ‘mengambil’ tenaga daripada tulang menyebabkan tulang ahli sukan rapuh seperti tulang pesakit osteoporosis.

Pengalaman ahli sukan

Zaiton Othman terperanjat dan sukar mempercayai kata-kata doktor bahawa dirinya menghidap poros tulang selepas menjalani pemeriksaan akibat terjatuh dan berasa sakit di bahagian belakang.

Bekas atlet negara ini baru berusia 30 tahun ketika itu dan sedang belajar di sebuah universiti di Amerika Syarikat. Beliau langsung tidak pernah memikirkan kemungkinan tersebut memandangkan dirinya seorang atlet yang sentiasa bersenam dan menjaga pemakanan. Sudah tentu Zaiton berpendapat kesihatannya berada di tahap optimum. Lebih memeranjatkan, doktor juga mengesahkan tulangnya berusia 75 tahun, iaitu dua kali ganda usianya ketika itu.

“Bayangkan luaran saya kelihatan tegap dan cergas, namun bahagian dalam, iaitu tulang mengalami masalah,” kata Pengarah di Majlis Sukan Negara (MSN) ini.

Doktor yang merawat Zaiton menjelaskan bahawa penglibatan beliau secara profesional dalam sukan sememangnya mendedahkan diri terhadap risiko poros tulang atau osteoporosis yang tinggi.

Menurut doktor, masalah tersebut biasa menyerang atlet sepertinya dan ia berlaku apabila badan yang tidak mempunyai tenaga mencukupi lalu menyerap tenaga yang diperlukan daripada tulang.

“Bersukan sememangnya baik untuk tulang. Tapi bagi ahli sukan profesional seperti kami yang menggunakan tenaga pada tahap optimum, poros tulang akan berlaku sekiranya tenaga yang diambil daripada tulang tidak diganti dengan pemakanan yang sempurna,” jelas beliau lagi.

Pun begitu, bekas atlet heptatlon dan pemenang pingat emas Sukan SEA ini tetap positif dengan keadaan dirinya dan menganggap ia bukan noktah untuknya mengundurkan diri dari bidang yang amat diminati.

Bermula dari situ, Zaiton tidak lagi memandang enteng terhadap pemakanan kerana sangat penting bagi menghasilkan tenaga untuk digunakan oleh badan. Beliau mula mengamalkan diet yang tinggi kalsium dan protein terutama daripada produk tenusu, kekacang serta daging merah. Dalam pada itu, beliau tetap tidak lupa melakukan senaman kerana ia merupakan salah satu cara untuk menjaga kesihatan tulang.

Zaiton sedar bahawa kesihatan tulang sebenarnya amat penting kerana tanpa tulang yang sihat, semua aktiviti harian akan terjejas. Dengan menjaga pemakanan dan pengambilan nutrisi yang betul, beliau meraih kembali kesihatan tulangnya. Dan kerana cintanya yang mendalam terhadap bidang sukan, beliau menyertai beberapa kejohanan dan baru-baru ini memenangi pingat di Kejohanan Veteran Sedunia.

Zaiton, 47, kini dilantik sebagai duta produk nutrisi tulang terkemuka, Anlene setelah menjadi pengguna setia produk tersebut sejak mengalami masalah poros tulang lagi.

Sebagai duta, beliau mahu menyuntik kesedaran di kalangan masyarakat terutama wanita mengenai kepentingan menjaga kesihatan tulang. Ini kerana wanita kehilangan banyak kalsium terutama ketika mengandung dan juga ketika proses menopaus.

Juga sebagai Pengarah Bahagian Hal Ehwal Atlet MSN, Zaiton sentiasa mengingatkan para atlet agar sentiasa menjaga pengambilan nutrien kerana risiko yang tinggi menanti mereka.

“Ramai yang tidak sedar bahawa kesihatan tulang sangat penting.

“Mungkin kerana mereka menganggap diri masih muda dan osteoporosis hanya menyerang mereka yang berumur,” katanya.

Menurutnya lagi, rakyat Malaysia, khususnya bangsa Melayu dan Cina kurang mengambil makanan daripada produk tenusu sejak kecil lagi dan kerana itu terdedah kepada masalah osteoporosis.

Kempen

Sebagai duta kesihatan tulang, Zaiton bersyukur kerana beliau diberi peluang untuk menyertai kempen tulang sihat di peringkat antarabangsa. Beliau mahu pengalaman peribadinya menjadi inspirasi wanita Malaysia khususnya dan dunia amnya untuk mengambil langkah mencegah osteoporosis.

Berpeluang menyertai persidangan sambutan Hari Osteoporosis Sedunia di Dubai 20 Oktober lalu, Zaiton bersama empat lagi duta Anlene dari Mesir, Indonesia, Filipina dan New Zealand bertukar-tukar pandangan masing-masing mengenai tahap kesihatan tulang penduduk di negara masing-masing.

Salah satu pengalaman yang menarik untuk dikongsi beliau adalah sikap segelintir yang tidak suka bersenam di bawah terik mentari. “Cahaya matahari pagi sebenarnya cukup baik untuk kesihatan. Ia mengekalkan vitamin D yang dapat membantu proses penyerapan kalsium oleh tulang,” ujarnya.

Zaiton juga menyeru wanita terutama yang berusia 30 tahun ke atas agar melakukan pemeriksaan khas untuk mengesan tahap kesihatan tulang mereka. Menurutnya, ujian boleh dilakukan di pusat perubatan swasta yang mempunyai peralatan khas mengimbas tulang.

Selain itu katanya, pihak Anlene juga akan menjalankan kempen pemeriksaan tulang secara percuma seluruh negara tidak lama lagi dan berharap ramai wanita yang akan tampil melakukan pemeriksaan awal bagi mencegah osteoporosis.

“Sebenarnya tiada istilah sudah terlambat untuk menjadikan kesihatan tulang sebagai keutamaan.

“Saya mahu semua orang bersama saya untuk mencegah osteoporosis supaya kita boleh menikmati kebebasan hidup selagi termampu,” ujarnya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s