kesihatan tulang….

Kebaikan bersukan amatlah jelas dalam menjaga kesihatan badan.

Selain menjaga pemakanan yang seimbang, aktiviti fizikal dapat membantu badan mengimbangkan penggunaan dan penyimpanan tenaga badan. Bagaimanapun, sukan lasak atau yang memerlukan tenaga yang banyak mungkin akan meninggalkan kesan buruk kepada badan.

Antara kesan ketara sukan ekstrem adalah masalah tulang di mana ahli sukan bukan sahaja menghadapi risiko retak atau patah tulang, malahan risiko poros tulang atau pengurangan jisim tulang.

Jisim atau kepadatan tulang dinilai dengan melibat bilangan sel tulang yang ada pada tulang rangka badan. Secara umumnya, tulang yang mempunyai jisim lebih besar adalah tulang yang lebih kuat.

Walaupun jisim tulang banyak dipengaruhi faktor genetik, kesan persekitaran dan pengambilan ubat tertentu juga boleh mempengaruhi keadaan tulang. Kepadatan tulang biasanya mula berkumpul pada zaman kanak-kanak dan mencapai kemuncaknya pada usia kira-kira 25 tahun. Keseimbangan jisim tulang kemudiannya akan kekal untuk 10 tahun sebelum menurun mengikut usia, pemakanan dan aktiviti fizikal individu.

Bagaimanapun, bagi ahli sukan ekstrem, faktor aktiviti fizikal dan pemakanan akan memberi kesan lebih besar kepada jisim tulang mereka berbanding usia.

Tulang memerlukan bekalan kalsium yang cukup bukan sahaja ketika kecil malahan sehingga usia tua untuk kekal kuat bagi menampung pergerakan aktiviti harian.

Aktiviti yang memerlukan banyak tenaga bukan sahaja memerlukan nutrien secukupnya daripada makanan malahan memerlukan rehat secukupnya sebelum aktiviti yang sama dilakukan sekali lagi. Kekurangan sumber nutrien dan rehat yang cukup mungkin menyebabkan badan ‘mengambil’ tenaga daripada tulang menyebabkan tulang ahli sukan rapuh seperti tulang pesakit osteoporosis.

Pengalaman ahli sukan

Zaiton Othman terperanjat dan sukar mempercayai kata-kata doktor bahawa dirinya menghidap poros tulang selepas menjalani pemeriksaan akibat terjatuh dan berasa sakit di bahagian belakang.

Bekas atlet negara ini baru berusia 30 tahun ketika itu dan sedang belajar di sebuah universiti di Amerika Syarikat. Beliau langsung tidak pernah memikirkan kemungkinan tersebut memandangkan dirinya seorang atlet yang sentiasa bersenam dan menjaga pemakanan. Sudah tentu Zaiton berpendapat kesihatannya berada di tahap optimum. Lebih memeranjatkan, doktor juga mengesahkan tulangnya berusia 75 tahun, iaitu dua kali ganda usianya ketika itu.

“Bayangkan luaran saya kelihatan tegap dan cergas, namun bahagian dalam, iaitu tulang mengalami masalah,” kata Pengarah di Majlis Sukan Negara (MSN) ini.

Doktor yang merawat Zaiton menjelaskan bahawa penglibatan beliau secara profesional dalam sukan sememangnya mendedahkan diri terhadap risiko poros tulang atau osteoporosis yang tinggi.

Menurut doktor, masalah tersebut biasa menyerang atlet sepertinya dan ia berlaku apabila badan yang tidak mempunyai tenaga mencukupi lalu menyerap tenaga yang diperlukan daripada tulang.

“Bersukan sememangnya baik untuk tulang. Tapi bagi ahli sukan profesional seperti kami yang menggunakan tenaga pada tahap optimum, poros tulang akan berlaku sekiranya tenaga yang diambil daripada tulang tidak diganti dengan pemakanan yang sempurna,” jelas beliau lagi.

Pun begitu, bekas atlet heptatlon dan pemenang pingat emas Sukan SEA ini tetap positif dengan keadaan dirinya dan menganggap ia bukan noktah untuknya mengundurkan diri dari bidang yang amat diminati.

Bermula dari situ, Zaiton tidak lagi memandang enteng terhadap pemakanan kerana sangat penting bagi menghasilkan tenaga untuk digunakan oleh badan. Beliau mula mengamalkan diet yang tinggi kalsium dan protein terutama daripada produk tenusu, kekacang serta daging merah. Dalam pada itu, beliau tetap tidak lupa melakukan senaman kerana ia merupakan salah satu cara untuk menjaga kesihatan tulang.

Zaiton sedar bahawa kesihatan tulang sebenarnya amat penting kerana tanpa tulang yang sihat, semua aktiviti harian akan terjejas. Dengan menjaga pemakanan dan pengambilan nutrisi yang betul, beliau meraih kembali kesihatan tulangnya. Dan kerana cintanya yang mendalam terhadap bidang sukan, beliau menyertai beberapa kejohanan dan baru-baru ini memenangi pingat di Kejohanan Veteran Sedunia.

Zaiton, 47, kini dilantik sebagai duta produk nutrisi tulang terkemuka, Anlene setelah menjadi pengguna setia produk tersebut sejak mengalami masalah poros tulang lagi.

Sebagai duta, beliau mahu menyuntik kesedaran di kalangan masyarakat terutama wanita mengenai kepentingan menjaga kesihatan tulang. Ini kerana wanita kehilangan banyak kalsium terutama ketika mengandung dan juga ketika proses menopaus.

Juga sebagai Pengarah Bahagian Hal Ehwal Atlet MSN, Zaiton sentiasa mengingatkan para atlet agar sentiasa menjaga pengambilan nutrien kerana risiko yang tinggi menanti mereka.

“Ramai yang tidak sedar bahawa kesihatan tulang sangat penting.

“Mungkin kerana mereka menganggap diri masih muda dan osteoporosis hanya menyerang mereka yang berumur,” katanya.

Menurutnya lagi, rakyat Malaysia, khususnya bangsa Melayu dan Cina kurang mengambil makanan daripada produk tenusu sejak kecil lagi dan kerana itu terdedah kepada masalah osteoporosis.

Kempen

Sebagai duta kesihatan tulang, Zaiton bersyukur kerana beliau diberi peluang untuk menyertai kempen tulang sihat di peringkat antarabangsa. Beliau mahu pengalaman peribadinya menjadi inspirasi wanita Malaysia khususnya dan dunia amnya untuk mengambil langkah mencegah osteoporosis.

Berpeluang menyertai persidangan sambutan Hari Osteoporosis Sedunia di Dubai 20 Oktober lalu, Zaiton bersama empat lagi duta Anlene dari Mesir, Indonesia, Filipina dan New Zealand bertukar-tukar pandangan masing-masing mengenai tahap kesihatan tulang penduduk di negara masing-masing.

Salah satu pengalaman yang menarik untuk dikongsi beliau adalah sikap segelintir yang tidak suka bersenam di bawah terik mentari. “Cahaya matahari pagi sebenarnya cukup baik untuk kesihatan. Ia mengekalkan vitamin D yang dapat membantu proses penyerapan kalsium oleh tulang,” ujarnya.

Zaiton juga menyeru wanita terutama yang berusia 30 tahun ke atas agar melakukan pemeriksaan khas untuk mengesan tahap kesihatan tulang mereka. Menurutnya, ujian boleh dilakukan di pusat perubatan swasta yang mempunyai peralatan khas mengimbas tulang.

Selain itu katanya, pihak Anlene juga akan menjalankan kempen pemeriksaan tulang secara percuma seluruh negara tidak lama lagi dan berharap ramai wanita yang akan tampil melakukan pemeriksaan awal bagi mencegah osteoporosis.

“Sebenarnya tiada istilah sudah terlambat untuk menjadikan kesihatan tulang sebagai keutamaan.

“Saya mahu semua orang bersama saya untuk mencegah osteoporosis supaya kita boleh menikmati kebebasan hidup selagi termampu,” ujarnya.

Advertisements

asap ekzos…

Otak manusia

Asap ekzos tingkat tekanan pada otak

Penyelidikan toksikologi di Universiti Zuyd, Belanda mendapati pendedahan singkat kepada asap ekzos kenderaan sudah cukup untuk meningkatkan tekanan kepada otak manusia.

Hasil penyelidikan itu menunjukkan partikel halus (nanoparticle) di dalam asap ekzos yang disedut akan menyebabkan perubahan pada aktiviti otak.

Kajian dijalankan dengan memantau aktiviti otak dua kumpulan sukarelawan didedahkan sama ada kepada udara bersih atau asap ekzos selama satu jam menggunakan alat elektroencephalograf (EEG).

Sukarelawan yang didedahkan kepada asap ekzos dilihat mula menunjukkan tekanan ke atas bahagian korteks otak selepas 30 minit.

Kepekatan asap ekzos pada ketika itu pula adalah bersamaan dengan jumlah yang paling tinggi dihadapi orang ramai di jalan raya yang sibuk.

Kesan pendedahan berpanjangan kepada asap ekzos tidak dapat dipastikan sepenuhnya tetapi didakwa mungkin mengganggu fungsi otak yang normal termasuk keupayaan memproses maklumat baru.

Selain itu, pendedahan kronik asap ekzos juga mungkin menyebabkan tekanan oksidatif yang telah dikaitkan dengan penyakit otak seperti Parkinson dan Alzheimer.

kongsi perasaan..kenapa.???

Seorang lelaki tua berjanggut sedang tersenyum.
Perasaan kita boleh berubah-ubah. Anda mungkin merasa gembira, putus harapan, sedih, marah dan kecewa. Bila perasaan tidak dapat dikawal, ia akan menjadi masalah. Anda perlu menangani masalah tersebut dengan berkesan

Kenapa seseorang memendamkan perasaan

  • Malu
  • Takut menjadi bebanan kepada orang lain
  • Terlalu peribadi untuk dibincang
  • Berpendapat diri sudah matang dan tahu bagaimana untuk mengatasinya
  • Bimbang akan reaksi orang lain
  • Berpendapat tiada siapa mahu mendengar dan memahami
  • Takut dianggap lemah jika tidak dapat menyelesaikan masalah sendiri
  • Memikirkan ianya hanya perkara kecil sahaja

Bagaimana mengendalikan perasaan anda

  • Ketahui perasaan anda
  • Luahkan perasaan anda
  • Dengar pendapat orang lain tentang perasaan anda
  • Kongsi perasaan anda dengan pasangan hisup, ahli keluarga, rakan, jiran, pemimpin agama, ahli kelab, doktor, kaunselor dan lain-lain

Kebaikan yang Diperolehi Apabila Anda Berkongsi Perasaan

  • Merasa lega
  • Mengurangkan tekanan
  • Anda mungkin dapat mencari penyelesaian kepada permasalahan anda
  • Anda akan menyedari orang lain juga mempunyai masalah
  • Masih ada orang yang mengasihi dan mengambil berat terhadap diri anda

Jadi, kongsilah perasaan anda.

berat badan

Turunkan Berat Badan

 

Mengapa Turunkan Berat Badan?

Jika anda ada terlalu banyak lemak – terutamanya jika kebanyakannya pada pinggang anda – anda berada pada risiko yang lebih tinggi bagi masalah-masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi, kolesterol darah tinggi dan kencing manis. Dan anda tidak sendirian! Lebih 60% dari rakyat Malaysia adalah terlebih berat badan, dengan 50% dari jumlah itu berada dalam kategori obes. Statistik ini adalah mencemaskan kerana obesiti sekarang dikenalpasti sebagai faktor risiko utama dan sendirian bagi penyakit jantung.

Turunkan Berat BadanBMI anda: Indeks jisim tubuh (BMI) menilai berat badan anda relatif kepada ketinggian. Ianya satu ukuran komposisi tubuh yang berguna kerana ia menghubungkaitkan lemak tubuh dalam kebanyakan orang. Jika indeks jisim tubuh anda ialah 25.0 atau lebih, anda akan mendapat manfaat dengan menurunkan nombor anda ke bawah 25. Jika BMI anda adalah 30.0 atau lebih tinggi, anda pada risiko jelas bagi mendapat masalah kesihatan jantung.

Mengapa Menurunkan Berat Badan Penting Untuk Kesihatan Saya?

Bayangkan membawa beg galas 10 kg sepanjang hari, setiap hari. Ia membebankan, samalah juga seperti berat badan berlebihan. Apabila anda membuang lemak berlebihan dan berat yang tidak diperlukan, anda mengurangkan beban jantung, paru-paru, salur-salur darah dan tulang-tulang anda. Anda memberikan diri anda pemberian untuk hidup dengan aktif, merendahkan tekanan darah anda dan juga membantu anda rasa diri lebih baik dan yakin.

Apa Yang Boleh Saya Buat Untuk Menurunkan Berat Badan?

Jika anda terlebih berat badan atau obes, anda boleh mengurangkan risiko anda untuk mendapat penyakit jantung dengan menurunkan berat badan dan mengekalkannya. Malah menghilangkan seserendah dua atau tiga kilogram boleh memberikan penurunan tekanan darah yang dramatik.

Ketahui keperluan kalori anda: Apabila merancang untuk menghilangkan berat badan, ianya penting untuk memahami apakah pengambilan kalori yang disarankan yang perlu bagi jantina, umur dan tahap aktiviti fizikal anda.

Kesan dan jejak kalori anda: Walau jika anda menjejak apa yang anda makan selama beberapa hari, anda akan belajar banyak tentang tabiat anda. Kira jumlah kalori makanan yang anda makan berbanding dengan kalori tenaga yang anda gunakan pada tahap aktiviti fizikal anda. Ianya adalah berkaitan dengan mengimbangkan kalori masuk dan kalori keluar, dan belajar merancang sewajarnya untuknya.

GURU PEMBANTU?????..

Guru Pembantu/Kedua
Secara umum, guru pembantu atau guru kedua yang dimaksudkan bukan melaksanakan tugas mengajar secara langsung seperti tugas guru sedia ada. Ia lebih kepada membantu melaksanakan tugas-tugas perkeranian di dalam kelas termasuk pengurusan program teknologi maklumat dan komunikasi serta menguruskan perkara-perkara yang melibatkan murid/pelajar, misalnya masalah sakit atau demam ketika berada dalam kelas. Ringkasnya, kebanyakan tugas guru kedua yang dicadangkan itu hampir sama dengan tugas Jawatan Pembantu Pengurusan Murid yang ditempatkan di pra sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia. Berdasarkan senarai tugas umum yang ditetapkan pada cadangan berkenaan. Guru kedua hanya membantu dalam tugas-tugas sampingan. Jadi isu pertindihan tugas terutamanya yang melibatkan proses pengajaran dan pembelajaran secara teorinya tidak timbul.

Guru Terbeban dengan pelbagai tugas dalam dan luar sekolah
Saya berpendapat bahawa adalah wajar khidmat guru kedua diwujudkan bukan sahaja disediakan di kelas yang bilangan muridnya melebihi 35 orang murid sekolah rendah dan 40 orang murid sekolah menengah, tetapi guru kedua patut ada di semua sekolah rendah dan menengah di negara ini. Bukan bermaksud setiap kelas pembelajaran perlu ada guru pengganti. Memang tidak logik jika Sekolah Kurang Murid (SKM) yang muridnya cuma 5 orang dalam sebuah kelas juga disediakan guru kedua, tetapi mungkin ada baiknya digunakan satu standard yang boleh diguna pakai untuk menentukan bilangan yang sesuai ditempatkan berdasarkan nisbah murid di sekolah, misalnya 1 guru pengganti untuk 50 orang murid. Jadi sekolah yang memiliki saiz murid kurang daripada 100 orang boleh ditempatkan 1-2 orang guru pengganti. Manakala bagi sekolah yang berskala besar, cadangan 1 guru pengganti bagi kelas melebihi 35/40 orang boleh diteruskan.

Cadangan ini bukan bermakna kita tidak pernah bersyukur atau terlalu meminta tanpa mengenal makna kepuasan ibarat “diberi betis hendakkan paha”, tetapi menurut Laporan Jawatankuasa Khas Menangani Isu Beban Tugas Guru 2010, guru-guru hari ini secara umumnya banyak terlibat dengan program-program di luar sekolah, antaranya termasuklah terlalu banyak penyertaan dalam kokurikulum dan sukan sehingga menjejaskan prestasi pengajaran murid serta amalan profesional keguruan. Itu memang jelas dan sudah lama berlaku dalam pelaksanaan pendidikan di negara kita. Bukan sekadar aktiviti kokurikulum dan sukan, guru-guru juga terlibat dalam menguruskan hal-hal berkaitan murid seperti pengurusan bantuan persekolahan, pengurusan data maklumat murid dan pentadbiran sekolah. Dalam bidang kurikulum pula, setiap kali kementerian melaksanakan program pendidikan yang baru, contohnya pada masa ini program Literacy and Numeracy Screening (LINUS), Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuhkan Penguasaan Bahasa Inggeris (MBMMBI), Semakan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), guru-guru akan menghabiskan masa beberapa hari di luar sekolah untuk mengikuti kursus/taklimat berkenaan. Keadaan ini secara tidak langsung menyebabkan guru terpaksa meninggalkan murid mereka di sekolah.

Pendidikan di Malaysia Bertaraf Dunia
Saya tidak nafikan tentu ada pandangan berlawanan dengan pandangan di atas, antaranya segelintir individu mungkin beranggapan yang khidmat guru kedua akan menyebabkan tugas guru bertambah mudah. Guru hanya setengah hari dan mendapat kemudahan cuti yang lebih banyak berbanding kakitangan awam lain di negara ini. Khidmat guru kedua pula tentu akan menggalakkan guru-guru untuk meninggalkan kelas dengan pelbagai alasan. Di pihak kementerian pula, “kajian mendalam perlu dilakukan dengan teliti dan tentu mengambil masa yang lama untuk diputuskan” atau “peruntukan kerajaan tidak mencukupi untuk membayar emolumen kakitangan baru” tentunya akan menjadi jawapan yang paling asas.

Bagaimanapun, kerajaan khususnya melalui Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sudah lama bertekad untuk memastikan guru-guru di Malaysia memiliki kemahiran dan kualiti kerja cemerlang supaya pendidikan negara kita setanding dengan pendidikan negara lain di dunia. Malah “Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia” pernah dipilih sebagai tema Hari Guru pada tahun 1996. Manakala pada tahun 1999, “Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang” menjadi sasaran untuk dicapai.

Malangnya, bagaimana kita hendak melahirkan guru yang berkesan seterusnya menghasilkan “produk” kita setaraf dengan negara-negara lain di dunia sedangkan dari segi pelaksanaan kita sudah jauh berbeza. Satu contoh yang mungkin boleh saya kongsikan di sini. Nisbah guru dan murid di negara lain berbanding negara kita:

  • Belgium: 15 murid
  • Amerika Syarikat: 14 murid
  • Denmark: 10 murid
  • Singapura: 17 murid
  • Thailand: lebih 30 murid
  • Indonesia: lebih 30 murid
  • Malaysia : lebih 30 murid

Sumber: Institusi pendidikan negara terbabit dan UNICEF (Dipetik daripada Berita Harian Online 14 Disember 2010)

Tidak dinafikan, adalah cukup sukar untuk negara kita menetapkan nisbah guru dan murid sama seperti negara maju dalam senarai di atas kerana ia bukan sahaja melibatkan perjawatan, tetapi juga melibatkan peruntukan besar dalam menyediakan prasarana pendidikan yang mencukupi. Namun, langkah menyediakan khidmat guru pengganti di sekolah tentunya sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban tugas guru dan seterusnya mereka akan dapat menumpukan perhatian yang lebih terhadap tugas mengajar. Guru pembantu/kedua pula boleh menumpukan perhatian pada tugas sampingan di dalam kelas.

ISU penempatan GURU..(graduan)

KENYATAAN MEDIA YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MENGENAI ISU PENEMPATAN GRADUAN PENDIDIKAN INSTITUT PENGAJIAN TINGGI AWAM

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) amat prihatin dengan  masalah yang dihadapi oleh graduan pendidikan di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan telah mengambil langkah-langkah prakmatik dalam menyelesaikan soal penempatan mereka di sekolah-sekolah KPM.
Beberapa ketetapan dan penyelarasan telah dibuat bagi memastikan graduan ISMP yang belum ditempatkan dapat diserapkan di sekolah-sekolah bermula Mei ini.
Seramai 5,510 graduan IPTA telah mendapat panggilan temuduga dari Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) mulai Januari tahun ini. Proses temuduga telah diadakan secara berfasa.
Seramai 4,953 graduan telah hadir dan dari jumlah tersebut SPP terpaksa menolak 32 graduan kerana gagal mengemukakan dokumen lengkap sementara 557 calon dianggap menolak tawaran temuduga apabila mereka tidak menghadirkan diri pada hari temuduga itu dijalankan.
Seramai 4,859 graduan telah berjaya dalam temuduga manakala 62 graduan telah gagal kerana tidak memenuhi empat (4) elemen yang dinilai iaitu keterampilan diri dan sikap, keupayaan berfikir dan kemahiran berkomunikasi, pengetahuan am dan isu semasa pendidikan serta pengetahuan bidang tugas.
Bagi sejumlah 4,859 graduan yang berjaya dalam temuduga, 29 graduan telah diberi penempatan ke Pusat Anak Permata Negara pada 8 April lalu.
Baki 4,830 graduan pula akan diberi penempatan secara berfasa. Penempatan Fasa 1 akan dilaksanakan pada 23 Mei 2012 dengan melibatkan 4,671 graduan.
Daripada jumlah itu, seramai 4,116 graduan akan ditempatkan di Sekolah Menengah, 439 akan ditempatkan di Sekolah Kebangsaan, 98 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan 18 di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
Baki 159 pula akan ditempatkan di Sekolah Menengah dalam Penempatan Fasa 2 pada bulan Julai 2012 .
Pecahan graduan ISMP mengikut IPTA adalah seperti berikut :
Universiti Utara Malaysia (90), Universiti Sains Malaysia (368), Universiti Teknologi Malaysia (185), Universiti Perguruan Sultan Idris (3,017), Universiti Pertanian Malaysia (482), Universiti Malaya (308), Universiti Sains Islam Malaysia (54), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (105), Universiti Kebangsaan Malaysia (330), Universiti Teknologi Mara (132), Universiti Islam Antarabangsa (53) dan Universiti Malaysia Sabah (214).
Pada Januari 2012, KPM telah melantik 2,397 graduan IPTA daripada 5,510 graduan sebagai Guru Interim bagi memenuhi keperluan pengisian guru-guru di Sekolah Menengah. Berikutan penempatan ini, perkhidmatan Guru Interim tersebut akan ditamatkan. Walaubagaimanapun, Guru Interim yang berjaya temuduga akan ditempatkan dan dilantik sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) pada 23 Mei 2012 berdasarkan keperluan pengisian mengikut opsyen pengajaran di Sekolah Menengah, Sekolah Kebangsaan, SJKC dan SJKT.
Guru Interim adalah guru yang dilantik oleh Jabatan Pelajaran Negeri bagi mengisi kekosongan sementara di sekolah-sekolah KPM. Perkhidmatan mereka adalah sehingga akhir tahun 2012 dan boleh ditamatkan dengan notis sebulan apabila terdapat bekalan guru tetap yang diterima dari SPP.
Status Graduan Pendidikan Institut Pendidikan Guru (IPG)
  • Pada Jun 2012, terdapat 2,484 graduan J-QAF keluaran IPG untuk ditempatkan di Sekolah Kebangsaan. Kesemua mereka akan melalui urusan temuduga pelantikan sebagai PPPS oleh SPP terlebih dahulu sebelum penempatan diuruskan.
Status Graduan Institut Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS)
  • Bagi graduan IPTS, urusan temuduga dan pengambilan tidak dilaksanakan pada masa ini kerana KPM memberi keutamaan kepada graduan IPTA yang mana pengambilan mereka mengikuti bidang pendidikan yang telah diunjurkan lebih awal oleh KPM kepada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Graduan IPG pula diberi keutamaan disebabkan latihan mereka dalam bidang pendidikan adalah tajaan KPM.
Graduan boleh melayari laman web Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaranwww.spp.gov.my untuk mengetahui samada mereka berjaya atau tidak. Keputusan penempatan akan diumumkan oleh KPM dalam sedikit masa lagi.
Saya berharap kenyataan media ini dapat menerangkan dengan jelas kedudukan ISMP IPTA. Kepada yang telah berjaya di dalam temuduga dan akan diberikan penempatan di sekolah-sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia, saya ucapkan tahniah. Semoga anda semua akan menjadi Guru yang berdedikasi dan dapat berbakti kepada negara. Kepada yang gagal pula, masih ada lagi ruang untuk terus berusaha.
YAB TAN SRI MUHYIDDIN HJ. MOHD YASSIN
Timbalan Perdana Menteri
Merangkap Menteri Pelajaran

” crazy match “

SHARAPOVA memegang trofi selepas menjuarai Rome Masters awal pagi semalam.

ROM – Ratu Rusia, Maria Sharapova muncul juara kejohanan tenis Rome Masters buat kali kedua berturut-turut.

Pada aksi final awal pagi semalam, Sharapova berjaya mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya tahun lalu apabila menumbangkan pemain handalan China, Li Na.

Bagaimanapun, Sharapova diberi tentangan sengit oleh Li Na sebelum meraih kemenangan 4-6, 6-4, 7-6 (7/5) dalam masa dua jam.

Aksi tersebut juga terpaksa dihentikan seketika kerana hujan lebat.

Selepas tewas pada set pertama, Sharapova yang juga pemain No. 2 dunia, tidak menunjukkan tanda- tanda dia akan mudah menyerah kalah.

Sebaliknya dia kembali bangkit dalam set kedua, seterusnya mengheret perlawanan ke set penentuan.

Perlawanan set penentuan itu juga berlangsung sengit apabila kedua-dua saling memungut mata sebelum Sharapova menang menerusi tie-break.

“Ia satu perlawanan yang gila. Salah seorang daripada kami (Sharapova dan Li Na) harus memenangi perlawanan itu, jika tidak ia akan berterusan lebih lama.

“Agak sukar untuk memberikan aksi terbaik kerana angin kencang. Perlawanan ini cukup sukar kerana berlangsung dua jam.

“Memang menyedihkan kerana pada akhirnya seorang yang akan tewas tetapi saya gembira dengan kejayaan ini.

“Memang cukup hebat apabila dapat mengalahkan seorang pemain yang memiliki skil permainan yang tinggi,” jelas Sharapova.

Sementara itu, Li Na menganggap aksi final tersebut seperti bermain bola sepak dalam cuaca hujan.

“Ia suatu perlawanan yang lucu. Walaupun kami direhatkan buat seketika tetapi kami tetap perlu memberi tumpuan setiap masa, situasi itu cukup memenatkan kami.

“Pada masa yang sama, situasi itu memberi tekanan kepada kami. Namun, saya mahu mengambilnya dari sudut positif,” jelas Li Na yang juga juara Terbuka Perancis tahun lalu.

Kejayaan di Rom menyaksikan Sharapova menambah koleksi kejuaraan tahun ini selepas menjuarai Grand Prix Porsche di Stuttgart bulan lalu. – Reuters